Aplikasi Heisenberg's Uncertainty Principle Dalam Media Hari Ini


Tahukah anda apakah itu Heisenberg's Uncertainty Principle?. Ianya merupakan salah satu prinsip yang amat penting dalam bidang kajian fizik kuantum (quantum physics) yang diperkenal oleh pemenang anugerah Nobel ahli fizik dari German iaitu Werner Heisenberg. Beliau juga pernah menjadi pembantu kepada ahli fizik terkenal yang digelar sebagai datuk fizik kuantum (grandfather of quantum physics) iaitu Neils Bohr (satu masa dahulu kelas-kelas di sekolah menengah saya pernah dinamakan atas nama beliau, sebelum diganti dengan nama yang lebih arabik dan islamik).

Ketika di matrikulasi dahulu saya pernah berdepan dengan prinsip ini di dalam silibus fizik semester 2, tapi hampas serius saya tak mengerti apa-apa idea mengenainya. Mungkin kerana pensyarah saya tidak begitu memberi penekanan atas prinsip ini, kerana walaupun melibatkan persamaan, tapi tiada soalan berbentuk pengiraan yang akan berkemungkinan keluar dalam peperiksaan, maka prinsip ini diambil ringan.

Begitulah realiti sistem pendidikan di Malaysia, terlalu berorientasikan peperiksaan ,sehingga mengurangkan minat pelajar untuk belajar, sedangkan fizik itu amat seronok untuk didalami.

Atau mungkin saya terlepas pandang yang prinsip ini pernah diberi perhatian serius, tapi seingat saya, memang tidak pernah. Atau mungkin juga kerana saya selalu ponteng kuliah, hehe. Mungkin kerana pengajaran yang begitu exam oriented membosankan saya. Tapi saya study di bilik. (ayat alasan)

Secara ringkasnya, prinsip ini menerangkan bahawa kelajuan (atau momentum) dan posisi (kedudukan) sesuatu partikel tidak boleh diketahui secara serentak. Semakin tepat anda mengukur suatu keadaan (samada kelajuan atau posisi), maka semakin kurang ketepatan keadaan yang lain. Jika anda mengetahui satu keadaan, maka yang satu lagi akan menjadi sentiasa uncertain (tidak pasti).

Anda boleh cuba untuk mengukur kedua-dua keadaan dengan tepat, tetapi semakin cenderung ukuran itu dibuat kepada satu keadaan, katakan kelajuan partikel tersebut, maka keadaan yang lain iaitu posisinya tidak akan dapat diketahui secara tepat, dan begitu juga sebaliknya.

Bayangkan jika anda mengukur kedudukan seorang perenang, anda tidak akan dapat mengetahui kelajuannya pada masa yang sama, dan begitu juga sebaliknya, jika anda mengukur kelajuan perenang tersebut, kedudukannya tidak akan dapat ditentukan pada masa yang sama.
Kesimpulannya anda tidak akan dapat mengetahui kedua-dua kuantiti momentum dan posisi pada masa yang sama, tidak kira betapa jitu sekalipun alat ukuran yang diguna.


Apa pula aplikasinya kepada media hari ini?


Tidak kira anda membaca media dari mana-mana sumber sekalipun, samada media cetak atau elektronik, semuanya akan cenderung kepada sesebelah pihak yang berkepentingan. Katakan jika anda ingin mengetahui tentang keadaan politik semasa di negara kita, carilah dari mana akhbar sekalipun, semua berita yang ditulis pasti akan berpihak kepada pihak tertentu, samada pihak kerajaan atau pembangkang.

Contohnya akhbar Utusan Malaysia, Berita Harian (sekadar menyebut beberapa nama) pasti akan memanipulasi berita yang disampaikan untuk menyebelahi kerajaan, dan begitu juga dengan akhbar terbitan pembangkang, seperti Harakah dan Suara Keadilan (sekadar menyebut beberapa nama) akan mengeluarkan artikel yang memburukkan kerajaan dan memenangi pihak pembangkang.

Begitu juga halnya dengan media elektronik. Kebanyakan website dan blog yang menceritakan perihal politik ini isi artikelnya pasti akan cenderung kepada peribadi penulis tersebut. Jika mereka menyokong pembangkang, maka penuhlah blog mereka dengan tulisan mengkritik dan mengutuk kesalahan kerajaan dan sebaliknya jika penulis blog tersebut penyokong kerajaan, pasti banyak isu-isu yang dimanipulasi untuk menunjukkan keprihatinan kerajaan dan kelemahan perti pembangkang.

Tidak terkecuali juga jika anda mendapatkan sumber dari orang perseorangan seperti rakan -rakan contohnya. Maklumat yang anda peroleh pasti akan cenderung kepada satu-satu pihak, bergantung kepada peribadi individu tersebut, dan jika mereka cuba untuk memberi penilaian yang sama rata sekalipun, pasti akan muncul sedikit bias. Ketika anda mengutarakan kelebihan kerajaan, maka akan terlihat kelemahan di pihak pembangkang, dan sebaliknya.

Ianya tidak hanya berlaku dalam arena politik sahaja, malah dalam apa jua bidang sekalipun. Sukan, sains, matematik, sejarah, seni, malah hal-hal keagamaan juga tidak terlepas.

Maka secara ringkasnya apa-apa sahaja maklumat yang kita peroleh dalam hidup ini pasti akan cenderung kepada sesuatu, tidak kira betapa berhati-hatinya kita dalam menganalisis maklumat tersebut, kerana setiap manusia punya pegangan hidup masing-masing, dan akan lebih cenderung untuk mengekstrak maklumat mengikut acuan kepercayaan sendiri.

Kesimpulannya, 'sentuhan' manusia itu sendirilah yang akan menimbulkan kecenderungan bagi sesuatu maklumat yang pada asalnya bersifat random dan neutral, sebelum diketahui dan diolah oleh kita mengikut acuan tersendiri, dan begitu juga yang terjadi kepada Heisenberg's Uncertainty Principle ini.

Akibat kita sendiri yang membuatkan partikel tersebut bersifat sedemikian rupa.

No comments:

Post a Comment