Oh Sizuka

Beberapa hari yang lepas ketika saya sedang merayau-rayau di alam maya saya terserempak dengan sebuah lagu baru (mungkin) dari kugiran Pop Shuvit bertajuk Oh Sizuka. Seronok juga lagu tersebut, walaupun pada mulanya sebelum mendengarnya saya menyangka lagu tersebut berlirik bahasa Jepun. Maklumlah jika diamati tajuknya dan fakta yang kugiran Pop Shuvit ini memang terkenal di negara matahari terbit tersebut. Namun ada jua terselit beberapa patah perkataan bahasa Jepun yang saya sendiri tidak tahu apa maksudnya.

Mengamati lagu ini sebenarnya membawa saya mengenang akan kisah kartun kegemaran ramai iaitu Doraemon. Ya, saya memang amat amat menggemari kartun si robot kucing berkepala bulat tersebut dan setiap minggu pada hari sebtu jam 7.30 malam saya pasti tercegat di hadapan kotak televisyen untuk menonton rancangan tersebut umpama seorang anak kecil yang teruja sambil terkinja-kinja.

Rancangan kartun tersebut tidak pernah leka daripada membuat saya tersenyum kambing keseorangan apabila ditonton terutamanya tatkala melihat gelagat antara Nobita si otak lembap berkaca mata dengan sahabat baiknya iaitu Sizuka. Saya bukannya tidak betul tetapi ada sebabnya yang munasabah kenapa saya berkelakuan sepelik tersebut.

Melihat betapa rapatnya Sizuka dengan Nobita di dalam kartun tersebut membuatkan saya terkenang akan sesorang yang pernah menjadi rakan rapat saya dahulu ketika saya masih lagi kecil-kecil hingusan (berusia 7-8 tahun). Apabila saya meanalogikan rakan saya tersebut dengan sizuka pastilah dia seorang gadis yang agak-agak boleh tahan rupanya....


Oklah, memang lawa pun. Hakikatnya, memang amat-amat lawa. Hahah.. dan dia 2 tahun lebih tua dari saya (kalau tak silap).


Kami memang amat rapat ketika itu, saya selalu ke rumahnya untuk bermain permainan anak-anak kecil dengannya seperti masak-masak, kejar-kejar, congkak dan sebagainya yang saya sendiri lupa akan nama rasminya tanpa sedikit pun menggugat kelakian saya, walaupun kebanyakan yang kami mainkan adalah mainan anak-anak gadis. Hehe.. dan dia juga selalu ke rumah saya untuk meminjam dan memulangkan komik-komik kepunyaan saya kerana ketika itu saya punya koleksi komik yang agak besar juga jumlahnya. Senang cerita ianya umpama hubungan platonik antara Nobita dan Sizuka di dalam rancangan kartun Doraemon tersebut.

Ketika itu memang seronok namun masa berlalu begitu pantas. Kali terakhir kami berjumpa ketika saya bertingkatan satu (kalau tak silap) tapi ketika itu mungkin masing-masing sudah meningkat remaja dan perasaan malu mula menebal dalam diri dan kami langsung tidak berkata sepatah haram pun sesama sendiri apatah lagi untuk bertegur sapa walaupun kami bersama agak lama juga ketika itu kerana dia dan neneknya bermalam di rumah saudara saya. Selepas hari tersebut saya tidak pernah lagi kelihatan akan wajahnya sehinggalah ke hari ini.

Agak banyak juga cerita-cerita mengenainya yang saya dengar dari keluarga saya, kerana keluarga saya dan keluarganya memang saling mengenali antara satu sama lain, tapi kami juga masih tidak bertentang mata. Saya memang amat berharap agar satu hari nanti kami dapat bersua semula walaupun saya pasti ketika itu memang saya tidak mampu untuk membuka mulut kerana tidak tahu apa yang ingin dibicarakan. Haha.. Lagipun saya tidak pasti sama ada dia masih ingat lagi akan saya ini ataupun tidak.


Tetapi jika tidak dapat bersua muka sekalipun saya sudah mampu untuk tersenyum berpuas hati sekarang kerana menyedari bahawa ketika saya masih keanak-anakan dahulu saya pernah punya kenangan yang indah dan menyeronokkan. Terutamanya apabila menonton rancangan kartun Doraemon. Heheh..






Tamat cerita.
Comment With:
OR
The Choice is Yours!

4 comments:

  1. zaman kanak kanak memang suci :)
    suka larrr... :) (cne nk bwt emoticon snyum lebarlebar???)

    ReplyDelete
  2. hak2, zman kanak2 mmg xleh lupe..
    bes tp xleh ptah balek..

    ReplyDelete
  3. jika mahu diingtkan kmbali zaman sewaktu kanak mmg indah..walaubgaimanapun kt harus melihat jauh ke hadapan.
    "tentang kta elok dlupakan semua"

    ko dah lupakan mastura kew??hahaha

    >dari kawan hakim

    ReplyDelete
  4. haha, siot ko kim..
    barang yg lepas usah dkenang
    kalau tidak merana diri..

    hahaha..

    ReplyDelete