Antagonist Juga Punya Perasaan

Sudah agak lama juga saya tidak memaparkan sebarang artikel di blog ini kerana masalah perhubungan internet di rumah saya yang punya sedikit masalah dewasa ini. Kali ini saya ingin berkongsi pendapat mengenai dunia perfileman walaupun saya bukanlah seorang peminat filem yang tegar dan boleh dikira beberapa kali sahaja saya ke panggung.


Pagi tadi saya berkesempatan menonton sebuah drama Melayu yang saya kira agak tipikal juga kandungannya sehingga mampu diduga kesudahannya seumpama skrip drama tersebut tersedia ada di kocek belakang sebelah kanan seluar khakis saya. Dalam mengamati sesebuah drama yang tipikal yang bercerita tentang kehidupan sosial manusia pasti wujud perbandingan watak yang dikategorikan sebagai protagonist (watak baik) dan juga antagonist (watak jahat).

Antagonist akan digambarkan sebagai seorang yang jahat, kejam, tak berhati perut dan sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai cita-citanya, dan atas dasar dan sifat-sifat dimiliki antagonist inilah yang digunakan sebagai kambing hitam untuk memaparkan, menonjolkan kebaikan watak protagonist yang cuba menghalang niat jahat si antagonist tersebut dan dalam masa yang sama dijadikan alasan untuk menghentam dan menjatuhkan si antagonist malang.

Tidak dinafikan memang sudah menjadi lumrah naluri manusia untuk menonton sesuatu yang dikelaskan sebagai baik dan membenci yang jahat, namun dalam drama mahupun filem yang dipaparkan wajarkah sesuatu watak itu diangkat sebagai hero/heroin dan wujud watak lain yang dikambing hitamkan menjadi watak penjahat?


Pada pendapat saya situasi ini seolah-olah menyaksikan bahawa watak antagonist tersebut direka hanya sebagai alat untuk si protagonist menunjukkan kebaikan/kehebatan yang dimiliknya dan tidak lebih dari itu. Serasanya pernahkah wujud seseorang yang mengambil berat akan perasaan si antagonist ini? Pada pendapat saya tidak. Pada pengakhiran cerita akan dipaparkan si antagonist menerima balasan atas perbuatan jahatnya yang terdahulu dan si protagonist hidup bahagia bersama si watak gadis dan tinggallah antagonist malang keseorangan diri hidup terseksa dan menderita kerana balasan yang diterima dan menangisi cintanya yang tidak kesampaian.


Mungkin orang akan berkata ini hanyalah sebuah rekaan cerita yang punya naik turunnya, punya isi untuk ditonjolkan, dan harus punya sedikit konflik/unsur-unsur saspens dan kesudahan cerita yang menarik untuk menjemput penonton datang ke panggung mahupun tercongok di hadapan kaca televisyen berbaring santai sambil ditemani segelas besar kopi susu (ini saya), namun ianya lebih dari itu.
Filem seharusnya menjadi bayangan kepada kehidupan sebenar dan situasi ini setidak-tidaknya pasti kedapatan sedikit tercalit pada hidup sesetengah daripada kita. Kita akan lebih terdorong untuk mengklasifikasikan seseorang itu hanya pada pandangan luaran tanpa menyelami hati budinya terlebih dahulu sebelum menuduh secara membabi buta.

Perkara yang sama juga terjadi pada watak antagonist dalam drama/filem yang di mana jarang-jarang sekali kedapatan masa dan ruang dalam penceritaan tersebut untuk memaparkan kehidupan sebenar dan hati budi si antagonist dan sebaliknya melebihkan kepada hidup si protagonist yang bersulam ceria dengan kebahagiaan dan kesenangan.


Dan dari sebab itu masih juga kita cenderung untuk menghentam si antagonist atau sesiapa sahaja yang pernah wujud dalam hidup seharian kita tanpa berfikir panjang terlebih dahulu.

Oleh itu dalam menonton suatu cerita rekaan sama ada dalam mana-mana genre sekalipun marilah kita buka pemikiran dan pandangan baru ketika mendalami cerita yang disampaikan dan fikirkan juga tentang perasaan sesuatu watak yang digelar sebagai antagonist.
Comment With:
OR
The Choice is Yours!

2 comments:

  1. intnet kt rmah de problem la..
    2 yg lame x post artkel..heh..

    ReplyDelete