Hendak Menyebut Terbelit Lidah



Gambar ini seharusnya menjadi satu bahan jenaka rancak yang bisa mengundang hilai tawa antara saya dan seorang sahabat ketika kami masih lagi menuntut di Kolej Matrikulasi Kedah dahulu pada sesi 2007/2008. Tidak sekali-kali timbul niat untuk memperlekehkan warung yang dipapar pada gambar di atas, jauh sekali untuk melemparkan apa-apa jenisan tohmahan, namun ia punya unsur yang bisa mengaktifkan nadi-nadi humoristik di dalam badan.

Teliti sahaja gambar di atas. Oh, bukan pada kelibat gadis kecil yang wajahnya sebelah kelihatan sambil dengan ayu membetulkan cekak rambut itu, dan juga bukan pada kelibat abang macho di belakang yang bergaya menunggu hidangan, tetapi pada papan tanda tergantung di bawah bumbung gerai yang serasa saya amat menarik perhatian.

LAICIKNG/CDL PULUT?

Unik. Memang amat unik.

Serasanya nama tersebut pasti menjadi nadi utama dan penggerak kepada kemajuan warung tersebut, selain daripada makanannya yang diakui memang enak dan menyelerakan, dan pastinya keistimewaan jenama tersebut yang menjadi bualan hangat penduduk tempatan.

Seharusnya antara saya dan sahabat saya itu memojok dan mengajuk-ngajukkan nama tersebut sehingga mengundang gelak-gelak basah yang mengeringkan tekak tatkala melalui kawasan berhampiran mahupun ketika menjamu selera di warung tersebut. Pada hakikatnya kami keliru. Bagaimana seharusnya ia disebut atau dalam bahasa yankeenya ‘dipronouncekan’ dengan sebetulnya.

Laicikeng? Cedel pulut? Cedol pulut? Cedul pulut?

Apa sahaja. Ia boleh jadi apa sahaja. Namun yang peliknya kami tidak pula menamakan warung tersebut dengan kemungkinan-kemungkinan yang terdapat di atas, sebaliknya ia punya nama tersendiri yang tidak kurang nilai komersialnya. Restoran/gerai/warung/kedai makan bawah jambatan. Apa sahaja, asalkan ia punya bawah jambatan di hujungnya.

Tidak pasti pula saya apakah ia nama rasmi warung tersebut seperti yang didaftarkan di pejabat daerah Changlun, ataupun hanyalah pojokan penduduk tempatan, mahupun timbul daripada idea-idea genius pelajar matrikulasi yang kita sedia maklum cukup berbakat dalam melahirkan nama-nama timangan yang terkadang agak mencuit hati dan kadang-kala agak bodoh juga sebenarnya.

Walau apa pun konsekuensinya, ia sama sekali tidak menjejaskan mutu perkhidmatan dan makanan yang ditawarkan. Memang cukup memuaskan hati. Saranan saya, jika anda punya kesempatan masa, anda harus singgah untuk menjamu selera di warung ini dan menikmati makanan dan minuman yang menyelerakan sesambil bergelak ketawa bersama rakan mahupun keluarga tatkala mencuba satu persatu kemungkinan nama-nama yang boleh timbul daripada papan tanda di atas kepala anda. Selamat mencuba.

Oh ya, atas dasar sifat warung tersebut pernah timbul satu peribahasa di fikiran saya yang mampu mendeskripsikan artikel saya ini: ‘umpama cdl pulut di tepi jalan, hendak menyebut terbelit lidah.’

(nota : gambar ini bukan ditangkap oleh saya tetapi timbul ketika saya menggoogle nama changlun di internet dan kredit gambar harus diberi kepada pemilik blog yang berkenaan.)



Comment With:
OR
The Choice is Yours!

2 comments:

  1. kf aku rase, tauke kedai tu anggap org changlun ade tahap kepandaian untuk menganalisa ejaan tsebut

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete