Jika Mengatakan Saya Tidak Bergerak Maka Benarkah Saya Tidak Bergerak?

Ketika masih bersekolah dahulu saya pernah punya satu permasalahan pemikiran yang selalu saya fikirkan mengenai persekitaran yang sedang kita diami sekarang. Pemikiran tersebut selalu datang menjenguk tatkala saya sedang menaiki kereta mahupun bas ataupun apa sahaja kenderaan yang membolehkan saya bergerak pada laluan 2 dimensi.

Apa yang bermain di benak fikiran saya ketika itu ialah, jika saya sedang bergerak dengan menaiki kereta atau apa sahaja kenderaan, malah walau dengan berjalan kaki sekalipun, apakah kelajuan sebenar saya ketika itu?

Mungkin ada yang mendangkalkan persoalan saya ini kerana pada meter kelajuan kereta tersebut dengan mudah sahaja saya dapat meggapai jawapannya. Lihat sahaja pada alat yang telah disediakan tersebut, dapatlah kita kelajuannya. Terima kasih kepada teknologi.

Tapi, nanti, persoalan saya ini sebenarnya mengambil kira akan faktor-faktor penting lain yang sudah saya ketahui ketika itu, iaitu putaran bumi pada paksinya dan pergerakan bumi mengelilingi matahari pada orbitnya. Pada saat itu saya sedar bahawa adalah mustahil untuk menentukan pergerakan kita samada ketika sedang bergerak mahupun dalam keadaan statik sekalipun, jika faktor-faktor yang disebutkan tadi diambil kira.

Adakah jika kita mengatakan bahawa kita berada dalam keadaan statik dan tidak bergerak maka kita memang benar-benar berada dalam keadaan statik mutlak? Walhal jika direlatifkan pergerakan kita ini pada pergerakan bumi mengelilingi matahari, maka adalah mustahil untuk kita mengatakan bahawa kita sedang kekal statik kerana kita sedar akan sifat bumi yang sentiasa bergerak mengelilingi matahari tersebut.

Pada hakikatnya segala pergerakan yang kita sedang alami sekarang adalah bersifat relatif dan tidak mutlak. Untuk mengukur kelajuan sesuatu objek itu, kita harus punya sesuatu objek lain yang berkelajuan sifar supaya objek yang ingin kita ukur kelajuannya itu dapat direlatifkan kepada objek berkelajuan sifar tersebut.

Katakan dalam situasi antara kereta A dan kereta B. Jika kita ingin mengukur kelajuan salah satu kereta tersebut, katakan kereta A, tanpa merelatifkannya kepada permukaan bumi, iaitu beranggapan bahawa kedua-dua kereta ini berada dalam keadaan terasing, maka kereta B haruslah tidak bergerak untuk membolehkan kita mengukur kelajuan kereta A. Katakan kereta A bergerak pada kelajuan 30km/j, maka kereta B harus tidak bergerak, iaitu berada dalam kelajuan 0km/j untuk membolehkan pengukuran berlaku, kerana kita beranggapan bahawa kedua kereta tersebut berada dalam sistem terasing, yang mana kelajuan kereta tersebut hanya boleh direlatifkan antara satu sama lain.

Namun bagaimana pula jika kedua-dua kereta tersebut bergerak dalam masa yang sama? Maka ketika itulah kita harus merelatifkan kelajuan kedua kereta tersebut pada sesuatu yang lain, contoh di sini ialah permukaan bumi, kerana adalah mustahil untuk merelatifkan kelajuan dua objek yang bergerak pada masa yang sama antara satu sama lain.

Oleh itu adakah benar jika seseorang mengatakan bahawa beliau tidak bergerak maka beliau memang benar-benar tidak bergerak?

Sebenarnya semua pergerakan segala objek di alam semesta ini adalah hanya bersifat perspektif atau dalam kata yang lebih tepat, relatif. Kita bergerak relatif kepada permukaan bumi, dan bumi bergerak relatif kepada matahari, dan matahari bergerak relatif kepada sistem solar bima sakti dan bima sakti pula bergerak relatif kepada berbilion sistem solar lain yang terdapat di alam semesta ini. Maka untuk mengatakan kita bergerak pada kelajuan yang mutlak adalah satu pernyataan yang tidak benar, dan sebetulnya adalah kita bergerak pada sekian-sekian kelajuan relatif kepada permukaan bumi.

Sebenarnya persoalan ini sudah lama dibangkitkan, malah sejak ratusan dahulu iaitu sejak zaman Galileo Galilei lagi, yang ketika itu digelar sebagai Galilean Relativity, dan dikuatkan lagi oleh Theory of Relativity yang dipelopori oleh Einstein dan saintis lain sebelumnya.


Sebelum mengakhiri artikel ini saya ingin mengajukan satu persoalan penting. Untuk mengatakan semua pergerakan adalah relatif, timbul satu persoalan apakah sifat-sifat realiti yang sebenar, jika apa yang kita lalui semuanya hanyalah satu perkaitan antara satu sama lain. Semuanya hanyalah bersifat persepsi maka apakah yang mutlak dan apakah yang benar-benar wujud? Untuk mendefinisikan sesuatu yang mutlak ianya haruslah tidak direlatifkan dan dipengaruhi oleh apa-apa yang lain, dan wujudnya adalah bersifat bebas.

Wujudkah sesuatu seperti itu? Anda fikir sendiri, saya rasa anda semua tahu apa jawapannya.
Comment With:
OR
The Choice is Yours!

2 comments:

  1. raso eh xdo la jauh mano..
    kek dlm blog ni yo..haha..

    ReplyDelete