Mesin Masa Si Gadis Tesla

Jika mampu dibina mesin masa mungkin sudah sahaja saya merentas masa ke satu juta lapan puluh ribu saat yang lampau, mengubah segala macam apa yang mampu saya ubah, supaya segalanya tidak seperti hari ini.

Jika merentas masa itu semudah merentas desa keliling kampung yang pada masa pancitnya boleh saya berhenti rehat di warung kopi Pak Masdor menghirup sirap sejuk barang segelas dua, mungkin hari ini tidak seharusnya begini.

Jika si Doraemon robot kucing pintar dari abad ke-22 itu adalah teman seulangkaji pelajaran saya di meja batu di luar perpustakaan itu pasti sahaja tidak pernah kelu lidah saya untuk secara tidak malunya meminta dipinjam mesin masa barang sejam dua, supaya hari ini sudahnya bukan begini.

Jika mesin masa itu mampu ditukar ganti menurut sistem barter ala zaman kesultanan Melayu Melaka dahulu pasti sudah sahaja saya mendapatkannya dengan sebungkus kotak coklat berjenama Butlers buatan Eropah sebagai galang ganti, supaya tidaklah hari ini berlakunya sebegini.

Jika mendapatkan mesin masa itu semudah membeli ayam goreng di pasar malam yang kebelakangan ini harganya mula melonjak ekoran kemerosotan ekonomi dunia yang terkadang membuatkan saya pusing takala mencari gerai yang menawarkan harga terendah, pasti hari ini tidak sebegini perilakunya.

Jika menggapai formula matematik dalam memungkinkan rentasan masa itu semudah menjawab kertas fizik matrikulasi semester 2 pasti tidak sahaja saya beromongan kosong di hadapan komputer riba menaip entah apa Tuhan sahaja yang tahu seperti hari ini.

Jika diri ini seorang Dali mungkin sudah sahaja saya melarutkan percikan warna minyak di atas sehelai kanvas buat diukir mesin masa keramat empat belas yang dimimpi di malam hari, supaya setidaknya hari ini mulanya bukan begini.



Dan alangkah indahnya jika semua ini tiada jika.

No comments:

Post a Comment