Racun Pemikiran

Semasa kecil dahulu saya pernah berimpian untuk menjadi seorang doktor tatkala dewasa, dengan niat untuk merawat dan menolong pesakit yang dalam kesusahan. Tidak pernah timbul apa-apa sahaja persoalan mengenai bayaran mahupun imbuhan yang bakal diterima, apatah lagi untuk mempersoal gaji yang bakal diterima kerana apa yang penting ketika itu hanyalah niat ingin menyumbang kepada masyarakat. Namun semakin dewasa saya, malah saya yakin ramai lagi di luar sana perlahan-lahan terubah pemikiran mereka.

Semasa di sekolah rendah dahulu sering sahaja kedengaran rakan-rakan sekelas berbicara mengenai cita-cita mereka dewasa kelak apabila ditanya guru.

Ada yang seperti saya ingin menjadi doktor. Ingin merawat orang katanya. Ada yang ingin menjadi polis atau askar. Untuk menjaga keamanan negara katanya. Ada yang ingin menjadi guru. Mungkin terinspirasi daripada kesungguhan guru kelas mengajar dan kerana ingin mendidik anak bangsa. Tidak kurang juga ada yang ingin menjadi peguam, hakim atau sebagainya. Boleh dikatakan semua berdiri di atas niat yang murni.

Sudut pandang seorang anak kecil dalam memerhati dunia luarnya tidak bisa mengaitkan sesuatu dengan wang mahupun pangkat, apatah lagi untuk mengejar keuntungan atas angin. Amat jarang sekali rasanya untuk kita bertembung dengan seorang anak kecil yang impian dewasanya ingin berjawat tinggi yang bergaji lumayan, mampu membeli kereta mewah dan tinggal di banglo jutaan ringgit.

Tipikal seorang anak kecil hanya menafsir sesuatu pekerjaan daripada sisi yang murni dan suci. Asli hanya untuk memberi sumbangan kepada masyarakat berjasa kepada agama, bangsa dan negara. Namun sayang semangat itu semakin lama semakin pudar. Jika dahulu berimpian untuk berbakti kepada orang ramai namun apabila dewasa sudah pandai main rasuah, mengejar keuntungan atas angin, menindas orang lain semata-mata untuk kepentingan diri sendiri.

Adakah pemikiran kita ini yang dahulunya cukup murni dan jujur secara perlahan-lahan diracuni untuk bertindak sebaliknya untuk mengejar kekayaan? Atau mungkin pada hakikatnya inilah realiti kehidupan yang sebenar, cuma kita pada masa kecil masih tidak mampu lagi untuk memahami kitaran kehidupan yang cukup kejam ini.

Apa pun jawapannya, saya yakin kebanyakan daripada mereka-mereka yang rakus nafsunya untuk mengejar keuntungan sehingga menindas orang lain masih sahaja punya tinggalan sedikit memori mereka ketika masih kecil, dan saya yakin jika mampu dijelmakan mereka yang masih kecil itu kepada mereka pada masa sekarang, pasti sahaja mereka yang rakus itu akan berasa malu terhadap diri sendiri apabila mengenang kembali pada masa lalu.

No comments:

Post a Comment