Saya Seorang Pelukis

Ketika masih bersekolah dahulu saya cukup giat melukis kartun. Sedari darjah 1 lagi saya sudah menghasilkan beberapa muka komik yang selalunya terinspirasi daripada komik terkenal ketika itu iaitu Dragon Ball karya pelukis Jepun Akira Toriyama.

Komik 2 muka itu yang dilukis di atas sehelai kertas lukisan bersaiz A3 cuba saya jual dengan harga RM0.50 dan seorang rakan sekelas berminat membelinya namun sayang dipulangkan semula mungkin kerana kualiti lukisan yang agak kurang, tambahan pula dilukis dengan hanya menggunakan pensil 2B. Sepatutnya saya mengenalkan polisi ‘barang yang dijual tidak boleh dikembalikan’. Mungkin saya sudah untung 50 sen ketika itu, boleh juga dibuat beli Ding Dang. Ceh..

Namun saya tidak putus asa, melukis komik tetap jua saya teruskan dalam darjah-darjah yang berikutnya. Saya pernah menghasilkan beberapa siri komik ketika di sekolah rendah, yang terang-terangan meniru gaya lukisan Akira Toriyama dan komik terkenal Hong Kong berjudul Pendekar Laut, namun hanya 1 siri sahaja yang terselamat di tangan saya ketika ini.

Siri tersebut berjudul ‘Frillmen’, yang terinspirasi dari komik Bremen yang disiarkan dalam Komik Remaja (kini Kreko) nombor 25 hingga 83 (saya mengumpul Komik Remaja dari jilid nombor 6 hinggalah ke berapa ratus saya pun malas nak kira, namun sekarang tidak lagi dibeli, cuma pinjam baca dari rakan-rakan, mudah).

Namun pada pengakhiran komik saya tersebut terselit unsur-unsur permainan video Playstation Metal Gear Solid keluaran Konami kerana ketika itu saya memang ketagih bermainan permainan video tersebut. Kiranya jalan ceritanya benar-benar pusing, watak utama bermula sebagai seorang pemuzik jalanan kemudian menjadi penyiasat persendirian dan kemudian tidak diketahui pula nasibnya kerana komik tersebut tidak habis dilukis.

(Sekarang saya sedang dalam proses memuat naik siri komik saya tersebut, dan mungkin akan disiar di sini tidak lama lagi.)

Komik saya ketika di sekolah menengah mengalami sedikit anjakan paradigma. Komik terkenal Jepun berjudul Slamdunk karya Takehiko Inoue mula menjadi inspirasi dan mempengaruhi gaya lukisan saya, dan jalan cerita tidak lagi berkisar kepada pertarungan tidak logik yang menggunakan ilmu kebatinan tahap tinggi tapi lebih kepada kehidupan seorang pemuzik jalanan yang malas belajar dan selalu menghabiskan duit ibubapa.

Kali terakhir saya membikin komik ketika di tingkatan 3, dan sedikit sebanyak ada disiar kepada rakan-rakan sekelas ketika di tingkatan 4. Selepas itu zaman komik saya mengalami zaman suramnya dan jarang-jarang sekali saya melukis lagi selepas itu.

Ini berlaku mungkin kerana minat yang semakin mendalam terhadap muzik dan bidang permainan dram, walaupun saya sudah gemar muzik sejak darjah 1 lagi dan berimpian menjadi seorang pemain dram sedari darjah 3 sebaik melihat seorang pemain dram beraksi kental di depan mata pada hari kenduri kahwin di rumah rakan saya. Namun hanya ketika di tingkatan 3 saya mampu mengetuk dram yang sebenar.

Apa-apa pun kesudahannya insya-Allah saya akan bergiat aktif dalam bidang lukisan semula selepas ini, walau bukan untuk melukis kartun mahupun komik bersiri. Lukisan seharusnya menjadi kerja seharian saya, cuma apa yang lebih menariknya berkemungkinan lukisan saya tersebut akan diterjemah ke dalam alam realiti.
Comment With:
OR
The Choice is Yours!

2 comments:

  1. Terima Kasih kf,sbb ko aku mengenal game metal gear solid.game pling best dlm play station

    ReplyDelete
  2. den kmpunan nk men metal gear solid 2..

    ReplyDelete