Coup d'état (bahagian 1)

Ketika di sekolah menengah dahulu saya pernah punya impian yang cukup besar. Saya ingin mengambil alih tampuk pemerintahan sekolah dari tangan pengetua yang fasis melalui beberapa fasa revolusi.

Saya bahagikan rancangan revolusi itu kepada empat fasa iaitu, pra-revolusi, fasa pertama, fasa kedua dan pasca-revolusi. Kerana terlalu banyak perancangan yang difikirkan maka kali ini saya hanya akan bincang fasa pertama iaitu pra-revolusi dan selebihnya pada pos yang lain.

Pra-revolusi (1)

Revolusi tidak berlaku atas dasar suka-suka tapi atas perjuangan untuk menegakkan kebenaran dan membela golongan majoriti yang tertindas, dalam hal ini, pelajar. Permasalahan sekolah yang semakin hari semakin ketara menampakkan kelemahan sistem pentadbiran sekolah yang diketuai pengetua.

Pengetua yang bersikap fasis dan mengamalkan dasar pemerintahan kuku besi tidak disenangi pelajar bahkan kakitangan sekolah sendiri. Jawatan-jawatan guru kanan diberi kepada mereka yang berkepentingan dan yang hanya punya hubungan rapat dengan pengetua, sekaligus melahirkan golongan aristokrat yang tidak boleh dipersoal tindakan mereka, dengan hierarki teratas dipegang oleh pengetua sebagai pembela mereka.

Para pelajar yang memakai uniform putih kosong (menandakan tidak berjawatan samada sebagai pemimpin pelajar mahupun pustakawan) pula diterap dengan ideologi komunisme yang melayan semua pelajar dengan sama rata tanpa mengira gred pencapaian mereka lantas memberi kuasa mutlak kepada pengetua fasis untuk mengawal setiap tindak tanduk para pelajar dengan Badan Kepimpinan Pelajar (BKP) sebagai perantara.

Kebebasan setiap pelajar untuk bersuara ditutup sama sekali.

Dalam sistem politik BKP pula kedapatan sering berlaku perebutan kuasa dan masalah politik wang sesama mereka yang kebanyakannya dipilih dari golongan keluarga berpendapatan tinggi yang sering menyumbang dana kepada tabung PIBG. Untuk membalas jasa mereka menyumbangkan dana tersebut maka anak mereka dilantik sebagai pemimpin pelajar tanpa mengira gred peperiksaan dan sahsiah pelajar tersebut.

Kelihatannya setiap ahli BKP ini lebih mementingkan jawatan masing-masing daripada permasalahan pelajar itu sendiri. Ahli Majlis Tertinggi (MT) pertubuhan tersebut pula seperti sudah terbiasa terbabit dalam rasuah politik terutamanya apabila menjelang pilihanraya pemilihan presiden.

Selain itu kemudahan yang disediakan pihak sekolah untuk para pelajar kebanyakannya berkualiti rendah dan sesetengahnya sudah usang dan perlu diganti baru. Salah laku displin di kalangan pelajar pula semakin meningkat kerana sistem pentadbiran sekolah yang lemah dan BKP yang tidak memainkan peranan. Keputusan peperiksaan para pelajar pula didapati semakin menurun kerana kebanyakan guru-guru berkualiti berhijrah ke sekolah lain atau diberhentikan kerja maka yang tinggal hanyalah mereka-mereka yang lebih mementingkan duit di poket berbanding pelajaran anak murid sendiri.

Masalah-masalah yang disebutkan di atas akan menjadi punca tercetusnya revolusi yang menginginkan supaya pemerintahan ala diktator pengetua ditumbangkan. Kemudian kita akan melihat bagaimana ideologi anti-principalism (anti-kepengetuaan) diterap ke dalam minda setiap pelajar dan seterusnya meledakkan gerakan revolusi yang didalangi satu pertubuhan illuminati digelar Majlis Uniform Putih (White Uniform Council) yang bakal dipengerusi oleh saya sendiri.

Dalam bahagian kedua iaitu pra-revolusi (2) kita akan dipaparkan dengan cara-cara dan strategi ideologi anti-principalism yang disebut di atas disebar di kalangan pelajar dan rahsia-rahsia sulit mengenai Majlis Uniform Putih dan bagaimana mereka bergerak dalam mencetuskan revolusi. Selain itu kisah perekrutan ahli Majlis Uniform Putih yang cukup misteri akan disingkap dan mengapa mereka digelar sebagai satu pertubuhan illuminati.

(segala cerita mengarut di atas hanyalah fiksyen politikal dan rekaan semata-mata, tiada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia, harap maklum)

No comments:

Post a Comment