Coup d'état (bahagian 2)

Dalam bahagian pertama kita telah melihat bagaimana permasalahan sekolah yang berpunca daripada polisi totalitarian school pengetua telah menyebabkan ketidakseimbangan hidup kepada para pelajar. Kegagalan pihak sekolah untuk menyelesaikan masalah ini telah mendorong para pelajar untuk melancarkan revolusi supaya ketidakseimbangan pembahagian kuasa di sekolah dapat dikembalikan.

Namun kesedaran para pelajar untuk bangkit menentang autokrasi pengetua tidak berlaku secara tiba-tiba tetapi secara berperingkat yang didalangi satu pertubuhan illuminati digelar Majlis Uniform Putih (White Uniform Council, WUC).

Pra-revolusi (2)

WUC merupakan sebuah pertubuhan rahsia (secret society) yang banyak mendalangi peristiwa bersejarah di sekolah, dan penubuhannya sezaman dengan usia sekolah itu sendiri. Namun yang peliknya keahlian pertubuhan tersebut tidak dibuka kepada sembarangan orang malahan kewujudunnya di luar pengetahuan pemerintahan tertinggi sekolah sendiri iaitu pengetua.

Perekrutan ahli WUC berlaku dalam proses yang amat rumit dan diklasifikasikan berprofil tinggi. Pemilihan akan dilakukan sendiri oleh alumni WUC dan pada tahun tersebut saya dilantik menjadi pengerusi pertubuhan tersebut. Menyedari akan tanggungjawab besar yang diberikan, saya bersama ahli yang lain merancang untuk menggerakkan revolusi di sekolah dan berazam untuk mengembalikan kegemilangan WUC sejak mengalami zaman gelap pada tahun-tahun kebelakangan.

Perkara utama dalam menggerakkan revolusi ialah kesedaran. Melalui medium-medium elektronik seperti laman sesawang sosial popular contohnya Facebook, Myspace, Friendster, Blog, Twitter, dan sebagainya, ideologi anti-principalism dan kesedaran untuk bangkit merampas kuasa disebarkan. Artikel-artikel yang ditulis oleh ahli-ahli WUC yang menyeru pelajar supaya menentang pengetua dan pemerintahan sekolah disiarkan.

Peristiwa revolusi penting dunia disebarkan dan diteladani untuk membangkitkan semangat pelajar seperti peristiwa Revolusi Amerika, Revolusi Perancis, Revolusi Cuba, Revolusi Rusia , Revolusi Islam Iran dan sebagainya. Ceramah-ceramah dan program bual bicara banyak dianjurkan seperti di dalam kelas, dewan makan, dan bilik tidur (sekolah saya sekolah asrama).
Pamplet mula disebarkan dari bilik tidur ke bilik tidur selepas jam 12.30 malam di mana ketika itu lampu bilik asrama diwajibkan ditutup dan warden mula tidak kelihatan. Dari jam 1 pagi hingga jam 3 pagi boleh dikira sebagai waktu aktif ahli WUC dan sebahagian pelajar yang mula sedar akan kepentingan revolusi untuk menjalankan aktiviti kesedaran mereka.

Dalam masa sebulan sambutan menggalakkan dari para pelajar dapat dilihat.
Pelajar mula bertanyakan soalan di dalam kelas di mana sebelum ini di bawah arahan pengetua kebebasan pelajar untuk bersuara ditutup sama sekali. Rasional sesuatu aktiviti dijalankan di sekolah mula dipersoal. Kesedaran untuk mengambil tahu akan perkembangan semasa sekolah semakin menebal dalam diri pelajar.

Namun malangnya pengetua fasis tidak berdiam diri. Pelajar yang melanggar peraturan dihukum dan tidak sedikit dari kalangan mereka digantung sekolah kerana kesalahan yang kecil. Pengetua sekali lagi mengingatkan para pelajar di perhimpunan supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan jika tidak ingin tindakan diambil.

Pelajar yang sudah membuak api semangat revolusi mereka tidak mudah menyerah kalah. Amaran pengetua tidak diendah dan program pemikiran revolusi semakin rancak diadakan di sana sini di setiap penjuru sekolah walaupun sering diserbu oleh BKP (Badan Kepimpinan Pelajar). Pengetua yang menyedari hakikat tersebut mengeluarkan notis supaya akses internet yang selama ini menjadi medium perantara pelajar untuk berbincang perihal revolusi disekat sama sekali.

Sebarang aktiviti yang melibatkan pelajar akan dipantau BKP dan jika ada yang berunsurkan pemikiran revolusi secara serta-merta penganjurnya akan digantung sekolah dan disekat untuk menerima kemudahan sekolah. Kerana takut akan penentangan dari pihak pelajar pengetua bertindak meningkatkan kawalan keselamatan sekolah.

Pengawal asing dari negara luar mula digaji untuk mengawal segala tindak-tanduk pelajar dan ini membuatkan pelajar seperti berada di penjara. Namun kesedaran untuk revolusi tidak terhenti di situ malah ianya semakin meningkatkan lagi semangat para pelajar. Kali ini WUC sudah mencapai kata dua untuk melancarkan revolusi rampasan kuasa secara rasmi yang lebih bersifat terang-terangan.

Pada bahagian seterusnya kita akan melihat dengan tertubuhnya Majlis Revolusi Pelajar (Student Revolution Council, SRC) rampasan kuasa akan berlaku dengan lebih agresif dan bersifat fizikal setelah revolusi secara akademik dan intelektual menemui jalan buntu. Dan dengan penubuhan majlis itu jugalah revolusi sekolah bermula secara rasmi dan perang proksi antara para pelajar dan pemerintahan pengetua mula berlaku.

(segala cerita mengarut di atas hanyalah fiksyen politikal dan rekaan semata-mata, tiada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia, harap maklum)

No comments:

Post a Comment