Pemadam Getah


 
Saya kira kebanyakan daripada kita gemar mengumpul sesuatu. Mungkin mengumpul setem, jam, majalah, komik, tiket LRT/komuter yang seharusnya dimasukkan ke dalam mesin sesampainya di stesen destinasi tetapi anda tidak melakukannya kerana berjaya meloloskan diri di pintu yang tidak dikawal, mahupun apa sahaja. Saya juga sebegitu.

Ketika di darjah 3 terdapatnya satu fenomena yang melanda sekolah saya ketika itu iaitu musim bermain pemadam getah. Ketika itu hampir semua orang (pelajar lelaki sahajalah) tergila-gila mencari pemadam getah yang mempunya gambar bendera negara-negara tertentu di atas permukaannya tersebut, dengan pemadam bergambarkan bendera Malaysia menjadi satu koleksi yang cukup 'rare' dan dicari-cari. Kiranya ia seumpama 'holy grail' bagi pengumpul sejati pemadam-pemadam getah.

Koleksi saya boleh dikira antara yang terbanyak, dengan kapasitinya cukup untuk memenuhi sebuah bekas pensil. Saya bangga dengan koleksi tersebut, ke mana sahaja saya mengusungnya. Apabila diperlukan untuk perlawanan pemadam getah, saya akan membukanya dan membelek satu per satu, lantas memilih yang terbaik, persis gaya seorang pahlawan dahulu kala memilih pedang sebagai senjatanya untuk dibawa ke medan juang. Ketika itu memang cukup seronok.

Namun disangkakan panas sampai ke petang rupanya hujan di tengahari. Suatu hari saya menyaksikan dengan mata kepala saya sendiri koleksi kesayangan tersebut lenyap di depan mata apabila seorang guru wanita yang terkenal dengan sifat garangnya merampas cendera jiwa saya tersebut dan membawanya pergi.

Tak pasti pula saya apa kesalahannya dengan hobi suci mengumpul pemadam getah. Adakah dengan kelibat pemadam getah sebanyak itu berkemampuan untuk menggugat keamanan sekolah? Ataupun ianya merupakan bahan terlarang yang dilarang keras pelajar untuk memilikinya? Saya rasa tidak.

Mungkin guru tersebut irihati melihat koleksi peribadi saya ataupun mungkin sahaja beliau sedang berusaha untuk merampas keseluruhan pemadam getah milik semua pelajar semata-mata untuk mendapatkan pemadam getah 'holy grail' yang cukup misteri tersebut. Jika begitu niat beliau, nasihat saya ; hanya insan yang berjiwa murni dan berhati cekal sahaja akan berjaya meperolehnya dan jika cara licik sedemikian digunakan, ia tidak akan berhasil, 'holy grail' tersebut akan hilang dengan sendiri.

Sekarang sudah lebih 10 tahun peristiwa tersebut berlalu. Jika difikirkan ke mana agaknya guru saya tersebut berada sekarang kerana tidak silap saya beliau berpindah ketika saya masih di darjah 3. Mungkin ketika ini beliau masih lagi dalam usahanya untuk menemui 'holy grail' yang misteri tersebut. Haha...




No comments:

Post a Comment