Stolen

I

Ada benda yang boleh diterangkan dengan perkataan tapi ada juga perkara yang cuma boleh dirasa dan tak mampu diluah dengan kata-kata. Saya sedang mengalami satu sindrom yang tak boleh dimaksudkan dengan bahasa, saya cuma mampu merasa. Dan makin hari perasaan tersebut makin dalam.

II

Perasaan, dia macam virus. Perlahan-lahan menjangkiti seluruh tubuh tanpa kita perasan. Sedar-sedar dia dah tak boleh nak dibuang, makin lama makin makan diri. Walau kadang-kadang ia menyakitkan hati dengan mengganggu segala macam sistem dalam badan kita tapi kita tak sanggup nak buang, sebab walau kadang-kadang ia annoying, ia juga mendamaikan.

III

Bukan senang nak berlakon. Nak-nak pula terpaksa berlakon cool dan buat endah tak endah depan orang yang hampir setiap masa kita fikirkan dan teringatkan. Masa kami berbual depan-depan rasanya riak wajah saya dah tak boleh nak disorok daripada menunjukkan ekspresi "kalaulah dia tahu macam mana perasaan aku sekarang". Tapi saya cepat-cepat buat muka takde perasaan dan berlagak jadi orang paling cool pernah dilahirkan kat dunia ni.

Sebab kebenaran kadang-kadang menyakitkan.

IV

Waktu dalam pukul 9 malam di stesen keretapi lama Kuala Lumpur saya duduk seorang diri di atas kerusi yang disediakan di tepi landasan. Saya lihat gelagat manusia yang ada baru pulang bekerja, ada yang baru habis shopping dan mungkin ada yang meraban tak tentu hala. Lampu limpah di bawah struktur bumbung keluli malap-malap bercahaya menyuluh komuter yang singgah setiap beberapa minit.

Tiba-tiba kepala saya pusing-pusing fikir pasal seseorang. Saya tersenyum sorang-sorang. Kalau ada orang yang perasan mungkin dia pun senyum sorang-sorang sebab tengok saya senyum sorang-sorang. Masa tu lagu Dashboard Confessional - Stolen berkemundang di telinga melalui iPod. Lagu ini jarang-jarang saya dengar tapi saya mula suka sebab ada satu verse yang betul-betul tembak tepat kena dada saya masa tu.


"You Have Stolen My Heart"


No comments:

Post a Comment