Menakjubkan! Lelaki Palestin Bina Kereta Elektrik Pertama Di Gaza (Video)

Monzer-al-Qassas
Kenderaan berbentuk kotak berwarna putih dan biru ini meluncur atas jalan raya di Gaza dan menarik perhatian orang ramai.

Kereta yang berbentuk seperti golf cart ini dibina oleh Monzer al-Qassas, 32, seorang lelaki Palestin dan merupakan kereta elektrik pertama yang dibina di Gaza.


Monzer al-Qassas, seorang pemandu teksi mencipta kereta ini dengan harapan untuk menangani krisis minyak petrol di Gaza akibat sekatan dari Israel. Tambah beliau, kereta elektrik tersebut dibina dari bahan-bahan kitar semula dan ianya hanya mampu bergerak selaju 20 kilometer sejam dan tidak boleh membawa lebih daripada dua orang penumpang. Namun ianya tetap merupakan satu ciptaan yang menakjubkan memandangkan modal yang dikeluarkan hanyalah sebanyak 1000 US Dollar dan dengan keadaan politik di Gaza yang tidak menentu.

Kereta elektrik ini boleh digunakan selama empat jam apabila dicas selama lima jam dengan kabel elektrik.
pemandu-teksi-palestin-bina-kereta-elektrik-pertama-di-gaza
Monzer al-Qassas yang menghabiskan beberapa bulan untuk mencipta kereta elektrik ini merupakan seorang lulusan ijazah sains politik namun beliau berkata ijazah tersebut tidak pernah digunakan. "Kewangan yang tidak mencukupi merupakan halangan terbesar dalam merealisasikan impian saya", tambah beliau yang berimpian untuk menambahbaik kereta elektrik tersebut dan membuatkannya dijana dengan tenaga solar namun berhadapan masalah kewangan.

Kata beliau kepada AFP, "tiada sesiapa di sini yang mengambil berat dalam menggalakkan anak-anak muda untuk belajar sains, atau untuk menjadi inovatif dan membangunkan kebolehan mereka. Kerajaan perlu menaja anak-anak muda dan menggalakkan kreativiti dalam bidang-bidang saintifik."

Menarik juga difikirkan dengan kreativiti yang dimiliki, jika beliau tinggal di negara-negara yang maju dan bebas daripada konflik pasti beliau mampu menghasilkan ciptaan-ciptaan yang lebih hebat. Nah, jika lelaki dari Palestin yang tinggal di negara yang sering diancam dengan konflik politik ini pun mampu menghasilkan ciptaan yang hebat dan inovatif, bagaimana pula dengan kita di Malaysia?

Sumber dari AFP

Artikel Berkaitan:

No comments:

Post a Comment